Neelofa tak jual rupa



GADIS cantik berusia 24 tahun ini barang kali antara selebriti yang cukup bertuah. Mempunyai rupa paras yang cantik, bijak dan berbakat, Noor Neelofa Mohd Noor, atau Neelofa boleh dikatakan memiliki pakej lengkap.

Malah bakat dimilikinya bukan hanya dinilai melalui kata-kata dan pujian, bahkan gadis yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini beberapa kali menerima pencalonan dalam anugerah berprestij biarpun baru tiga tahu berkecimpung dalam bidang seni.

Terbaru, Neelofa dicalonkan untuk dua kategori Anugerah Blockbuster 2, iaitu kategori Heroin Terhebat dan Heroin Baru Terhebat.

Bagaimanapun, akui Juara Dewi Remaja 2010 ini, dia tidak mengharapkan sebarang kemenangan biarpun tercalon.

"Saya tidak sasar sebarang trofi, tetapi tetap akan hadir pada malam kemuncak bagi mempromosikan filem terbaru saya iaitu Lemak Kampung Santan yang akan bersiaran 1 Syawal nanti.

"Lagipun majlis-majlis anugerah sebegini, kita tidak boleh jangka siapa yang akan menang dan kadang kala orang yang kita tak jangka pun boleh menang.

"Jadi, saya hanya bersikap neutral dan menerima sahaja keputusan yang akan diumumkan malam itu kelak," ujarnya.

Ditebak adakah dia masih kecewa berikutan kegagalan menerima apa-apa trofi, biarpun menerima banyak pencalonan pada Anugerah Bintang Popular sebelum ini, Neelofa segera menidakkan.

"Saya masih baru dalam industri ini dan banyak lagi kelemahan yang perlu saya perbaiki. Bagi saya, orang sudah mengenali dan nampak Neelofa dalam industri ini juga sudah cukup bermakna buat saya.

"Banyak lagi ruang dan peluang yang akan datang, jadi tidaklah hanya kerana gagal sekali, saya terus kecewa," jelasnya.

Dalam bersikap positif mengharungi segala sepak terajang dalam industri seni, Neelofa tidak terlepas dari menerima kata-kata nakal bahawa kehadirannya dalam industri tidak lebih sekadar berbekalkan rupa semata-mata.

Tidak cepat melatah dengan tohmahan sesetengah pihak yang tidak menyenangi kehadirannya dalam industri seni, Neelofa berkata, dia tidak ambil pusing dengan kata-kata negatif orang lain
terhadapnya.

"Saya tahu apa yang saya buat dan orang boleh kata apa sahaja. Jikalau benar kehadiran saya hanya kerana rupa, saya rasa mungkin sudah lama saya hilang dari industri ini.

"Malah, apabila sudah masuk tahun ketiga berada dalam industri, saya makin kuat dan tidak ambil pusing dengan apa yang orang lain katakan.

"Bagi saya, orang yang suka mengata saya, belum tentu hidupnya juga stabil. Jadi saya hanya pandang ke depan dan buat kerja saya sahaja," katanya.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai perkembangan terkininya, Neelofa berkata, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran Pilot Cafe dan juga menyelesaikan penggambaran program Nona serta MeleTOP.

Selain itu, Neelofa juga bakal tampil dalam program terbaru berjudul Dapur Panas bersama pengarah Michael Ang.

"Julai ini, saya akan memasuki set penggambaran filem Gangster Superstar bersama Khabir Bhatia," ujarnya.

0 comments: