Hati Luna Maya Belum Terbuka Untuk Ariel

Selebriti popular Indonesia Luna Maya menyifatkan perhubungannya dengan
bekas kekasih, Ariel (Noah) tidak lebih daripada sebagai kawan meskipun
saling bekerjasama menjadi rakan kongsi dalam perniagaan fesyen di bawah
jenama Hardware.



Luna, 24, berkata, hatinya masih belum terbuka untuk menjalinkan
hubungan cinta dengan mana-mana lelaki pun termasuklah Ariel kerana
lebih selesa bergelar solo buat masa ini.



"Saya dan Ariel sekadar rakan kongsi dalam perniagaan, tidak lebih daripada itu.



"Kami pun tidak mengambil peduli tentang kisah lama yang pernah dilalui
sebelum ini dan pada masa sama tidak kisah dengan apa yang akan terjadi
pada masa akan datang nanti.



"Cuma apa yang saya boleh cakap sekarang ini, saya selesa solo. Biarlah
masa dan takdir menentukan siapa jodoh kita. Lagipun apa-apa kemungkinan
boleh berlaku," katanya.




luna maya 2013

 Luna ditemui pada pelancaran filem pengarahan pertamanya berjudul Pintu
Harmonika di Hotel Mandarin Oriental di sini pada Khamis.



Sebelum ini, Luna dan Ariel pernah bercinta selama beberapa tahun namun
hubungan itu terputus ketika Ariel masih lagi berada di penjara sebelum
dibebaskan pada Julai tahun lalu.



Tidak lama kemudian, Ariel dan Luna menjadi rakan kongsi perniagaan
fesyen pula memperkenalkan kasut jenama ARL by Hardware dan LM by
Hardware.



Mengenai filem Pintu Harmonika, ia merupakan percubaan pertama Luna
mengarahkan filem tersebut bersama-sama dengan dua pengarah lain iaitu
Sigi Wimala dan Ilya Sigma.



"Ia merupakan sebuah filem yang dipecahkan kepada tiga plot cerita dengan pengakhiran yang sama.



"Mujurlah ada bantuan dua pengarah yang membuatkan kerja saya sedikit
senang, cuma yang sukarnya ketika menjalani pasca produksi di mana ia
memerlukan penelitian yang sepenuhnya agar perjalanan cerita tidak
meleret," ujarnya.



Pintu Harmonika yang diterbitkan oleh Malka Pictures turut dibarisi
pelakon Fauzan Nasrul, Karina Salim, Donny Damara, Barry prima, Jenny
Chang, Adam Putra Pertama dan Nasya Abigail.



Menariknya filem ini akan ditayangkan secara eksklusif menerusi saluran
Astro First, serentak dengan tayangan di pawagam Indonesia pada 23 Mei
ini.



Para pelanggan yang ingin menonton hanya perlu membayar RM15 bagi setiap
tempahan dan filem tersebut akan ditayangkan dalam tempoh masa 24 jam.



Tambah Luna, sekiranya filem Pintu Harmonika mendapat respons baik
daripada penonton, dia mungkin akan bekerjasama lagi dengan pihak Astro
untuk tayangan filem arahan keduanya pula.



Sementara itu, Ketua Kumpulan Saluran hiburan Astro, Azlin Reza Azmi
berkata, ini merupakan kali pertama memasukkan filem Indonesia ke
saluran Astro First dan berharap saluran tersebut akan divariasikan
bukan sahaja daripada filem-filem tempatan tetapi juga luar negara.

0 comments: