Bukan isu besar, Hanez Suraya jawab isu gambar menjolok mata di pulau
BARU-BARU ini, pelakon yang semakin menyerlah, Hanez Suraya, tampil
berkongsi gambar kenangannya bersama peminat ketika bercuti di Pulau
Redang.
Namun, tindakannya itu mengundang kontroversi baru apabila beberapa
peminat dan pengikut di laman mikro Twitternya, mengkritik cara
pemakaian Hanez.
Menerusi gambar berkenaan, Hanez, 28, hanya mengenakan seluar sendat
rona biru gelap dan baju T tanpa lengan untuk aktiviti snorkeling.
Tidak senang dengan kritikan yang diterima, Hanez turut membalas kenyataan itu dengan dana yang keras dan berbaur sindiran.
Hanez turut mengecam tindakan segelintir masyarakat yang sengaja mencari kesalahan, walhal perkara itu bukanlah isu besar.
"Saya rasa, tak ada panas pun pakaian saya, hanya biasa-biasa saja. Saya
sendiri tak faham apa masalah mereka sehingga mengkritik saya
sedemikian rupa. Niat saya hanya nak berkongsi kegembiraan bersama
peminat.
"Pun begitu, saya malas nak layan karenah mereka kerana semakin dilayan,
makin menjadi-jadi. Lagipun, saya pakai seperti itu untuk aktiviti di
laut.
"Saya rasa, lebih elok sekiranya mereka tidak mengeluarkan sebarang
komen atau pandangan berbaur negatif. Tak payah nak komen lebih-lebih
macam diri terlalu baik," kata pelakon utama drama bersiri Akasia,
Sedetik Cinta, ini.
Nama Hanez Suraya sememangnya sudah lali dengan pelbagai gosip dan
kontroversi di sepanjang penglibatannya dalam industri hampir 10 tahun.
Walaupun hasrat hatinya mahu mengelak daripada kontroversi yang mendatang, namun Hanez sekali lagi diduga.
Tidak cepat melatah dan menganggap perkara itu hanyalah isu picisan,
Hanez berkata, kontroversi ini tidak mengganggu perjalanan seninya.
"Perkara ini langsung tidak menggugat karier seni saya. Alhamdulillah,
ianya berjalan dengan lancar. Saya anggap perkara ini sebagai angin lalu
sahaja.
"Keutamaan saya buat masa ini ialah kerjaya. Saya tidak mahu toleh ke belakang lagi dengan mensia-siakan peluang yang ada.
"Jika tahun-tahun sebelumnya saya lebih dikenali ekoran kontroversi,
namun kini saya tidak mahu lagi peminat memandang saya dari segi itu.
Nilai saya menerusi bakat dan lakonan," kata kekasih hati, Awi Rafael
ini.
Semakin menyinar dengan lakonan yang mantap, Hanez juga sering menjadi
perhatian di kalangan media ekoran hubungan cintanya bersama pelantun
lagu, Asalkan Aku Ok.
Menurut Hanez, walaupun hubungan cintanya bukan lagi rahsia, baik di
kalangan media mahupun peminat, namun ia bukanlah tiket untuknya menjaja
kisah peribadi.
"Saya tidak suka menggembar-gemburkan kisah peribadi. Memang saya suka
berkongsi banyak perkara dengan peminat, namun bukan 100 peratus.
"Saya tidak mahu kisah cinta lebih mendapat perhatian berbanding karier
kerana bukan semua yang suka mendengar kisah peribadi kita.
"Bagi saya, biarlah soal kerjaya dan cinta berada di tahap yang
seimbang, itu lagi baik," katanya yang turut dilantik sebagai duta
produk kecantikan, Aura White.
0 comments: